Mak pandang
jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut membusung, namun
mak nampak ketenangan pada wajah abang.
Mak ambil
pisau. Mak potong baju-T yang tersarung pada tubuh abang, baju terkahir yang
abang pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju itu tidak muat untuk
melalui perut abang yang 'buncit'.
Tapi, mak
akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium baju itu, sekadar
pengubat rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh abang ke pangkin yang telah
disediakan. Lalu abah dan mak mendikan jenazah abang. Hanya kami berdua. Mak
tak mahu orang lain. Biar tangan abah dan mak yang menjiruskanair buat kali
terakhir pada tubuh kecil abang.
Mak nampak
anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua air matanya tumpah, mengalir di pipi,
tapi cepat-cepat abah sapu dengan lengan sasanya.
"Bang,
jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terkahir," begitulah
kata mak pada abah.
Setelah
abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang. Pun hanya kami berdua
juga. biar tangan kami saja yang memakai dan membalutkan kain terakhir pada
tubuh abang.
"Kakak,
jangan menangis. tak baik buat abang macam tu!"
Itu pesan
mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat kali terakhir. Abah pula
selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah menjauh memalingkan muka.
Mak nampak
air mata abah berjuntaian membasahi pipi. Dan buat kali terakhir itu juga, mak
usap dahi abang. Mak senyum, lantas kucup dahi abang.
Mak
bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!"
Akhirnya,
wajah abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang buat kali terakhir. Ramai betul
jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa abang ke tanah perkuburan.
Abah masuk
ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah abang. Alhamdulillah, semua kerja
dipermudahkan. Abang sudah selamat di sana.
Bertubi-tubi
mak terima ucapan takziah daripada tetamu yang datang. Abang nak tahu, ada satu
soalan yang mereka tanyakan pada mak.
Soalan itu
asyik terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya mereka: "Kakak uruskan
jenazah anak kandung sendiri, tapi setitis air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa
kakak tidak menangis?" Itulah soalan mereka.
Mereka
hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak tidak lekang dengan
senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku sekujur tubuh yang
pernah berada dalam rahim mak dulu? Empat tahun dua bulan mak membesarkan
Abang. Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit
usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya. Membacanya
bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan derita Abang sejak
lahir hingga menghembuskan nafas terakhir. Mata mak terpaku pada catatan peristiwa
lebih kurang tiga bulan sebelum Abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung
jawapan yang mak cari-cari. Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak
tidak menangis?
Mak akan
bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak
menangis, sayang.
Januari
2011- Perut Abang semakin membusung kerana hati membengkak. kata doktor, semua
organ dalaman Abang sudah rosak, sudah 'reput'. Tidak boleh diselamatkan lagi.
Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan untuk
Abang.
26 Februari
2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari sebelum itu, mak tanya, abang
nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah! Hah Hah.. Tergelak mak. Abang
suka sangat melihat lori sampah yang lalu setiap pagi depan rumah. Sebab itu
abang nak kek bentuk lori sampah, Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala
Lumpur , tetapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam
yang Abang minta. Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan
Abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai
pengganti. Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas, Abang
masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang, sama-sama
menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak sudah terdetik,
mungkin ini hari jadi abang yang terakhir.
7 Mac 2011-
Keadaan abang semakin kritikal. Perut abang semakin membesar. Abang tidak mampu
untuk bergerak dan lebih banyak terbaring serta asyik sesak nafas. Mak semakin
tidak tahan melihatkan keadaan Abang sebegini rupa. Mak bawa Abang ke IJN,
rumah 'kedua' abang sepanjang tempoh hayat Abang. Kata doktor, tiada apa yang
boleh dilakukan lagi. Abang hanya menanti waktu. mak angguk perlahan-lahan. Mak
redha dengan ketentuan ilahi. Dalam hati mak juga terdetik, masa Abang sudah
tidak lama lagi. Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana
dengan keadaan Abang? Mak cuma mampu untuk jawab, "InsyaAllah, Abang akan
sihat!" Mak terpaksa cakap begitu pada mereka, sebab mak tidak mahu mereka
semua lemah semangat jika mereka tahu Abang sudah tiada harapan lagi. Mereka
pun sedang bertarung dengan ujian Allah apabila anak-anak yang dikasihi ditimpa
penyakit. jadi biarlah jawapan yang mak beri itu kedengaran manis pada telinga
mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri yang telan.
13 Mac 2011-
Hari ini merupakan hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk bawa Abang
pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah Abang habiskan waktu-waktu terakhir
bersama keluarga. Dan disaat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan apa saja
permintaan Abang. Di rumah, setiap hari mak akan tanya, "Abang nak apa
harini?"
Mak masih
ingat pada suatu pagi, abang menjawab, "Mak, Abang nak naik kereta bomba!"
Mak
termenung dengar permintaan Abang. Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak
abah keluar. Abah tanya pergi mana?
Mak jawab,
"Balai bomba!"
Sampai di
situ, mak meminta izin daripada pegawai bomba. Mak kata padanya, Abang teringin
sangat nak merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu cuma garu-garu kepala,
kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala. Belum sempat pegawai bomba itu
menjawab, lantas mak tarik baju Abang ke paras dada.
Separuh
berbisik, mak beritahu pegawai itu, "Encik, ini anak bongsu saya dan hanya
menanti masa untuk 'pergi'! Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya
ini!" Bila lihat perut Abang yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan
jahitan, pegawai itu tidak tunggu lama. Terus dicapainya kunci, dibuka pintu
salah satu trak bomba itu. Lantas dia terus dukung Abang dan letakkan Abang ke
atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembira sangat biarpun cuma 15
minit abang di dalam trak itu. Tetapi Abang tidak perasan, ketika itu mak
palingkan muka selama lima saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yang
mula bertakung.
Hari lain,
mak tanya lagi pada abang, "Abang nak apa?"
Abang pun
jawab: "Abang nak naik lori sampah!" Mak dukung Abang, tunggu depan
rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak
tahan lori itu.
"Encik,
anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?" Pekerja itu
tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju Abang dan beritahu
perkara sama. Terus berubah mimik wajah mereka. Segera mereka angkat Abang,
letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yang memalingkan muka,
tak sangup untuk melihat Abang lama-lama. Sedih agaknya. Begitulah seterusnya.
Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan yang sama. Kalau Abang nak tengok gajah,
mak akan bawa Abang pergi zoo. Walaupun abang tak larat jalan, tak apa.
Mak dan abah
tidak kisah, kami silih berganti dukung Abang. Abang pinta nak tengok burung,
mak bawa Abang ke taman burung. Abang nak main permainan robot, mak bawa ke
kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana saja Abang nak
pergi dan apa sahaja yang Abang inginkan, semuanya mak tunaikan! Setiap hari
juga mak tanya Abang nak makan apa. Macam-macam Abang teringin nak makan.
Murtabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu, air bandung , rojak dan
macam-macam lagi, semuanya mak tunaikan walaupun makanan itu Abang pinta pada
pukul 3.00 pagi.
Mak tahu dan
faham, masa Abang bersama mak dan abah semakin suntuk!
27 Mac 2011-
Abang semakin kritikal! Abang sudah tidak mampu untuk berkata-kata, apatah lagi
untuk bergerak seperti biasa. Mata Abang kuyu dan Abang hanya mampu terbaring
sambil memeluk Aina, anak patung kesayangan Abang. Mak segera pinta abah bawa
Abang ke hospital.
"Kali
ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar dengan tubuh abang
yang sudah tidak bernafas!" Itulah kata-kata mak pada abah sebelum
bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa berlaku. Sampai
di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas untuk pesakit kritikal.
5 April
2011- Mak telefon sekolah asrama Kakak sulung di Seremban. Mak minta pelepasan
daripada cikgu untuk benarkan Kakak pulang.
"Adik
tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di sampingnya pada saat terakhir!"
Mak pinta pada cikgu dan Kakak diizinkan pulang. Kemudian, Dr. Adura, doktor
yang sinonim merawat abang juga datang melawat. Ketika itu mak ceritakan yang
mak terkilan sangat tidak dapat tunaikan permintaan Abang yang mahukan kek
berbentuk lori sampah.
7 April
2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat Abang lagi. Kemudian Dr. Adura beritahu
ada surprise untuk Abang tengah hari ini. Rupa-rupanya, tengah hari itu tetamu
yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura datang membawa kek lori sampah yang
Abang mahukan sebelum ini. Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sangka, Dr Adura
rajin menulis mengenai kisah abang didalam blognya dan ramai yang menawarkan
diri untuk menyediakan kek yang abang pinta. Para tetamu bersama jururawat dan
doktor menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk Abang. Tetapi abang kurang
ceria, wajah Abang tampak letih dan nafas abang turun naik.
8 April
2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu datang membawa kek berbentuk lori
warna pink untuk abang. Tetapi abang sangat lemah. Abang sekadar terbaring
merenung kek itu. Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah Abang,
bacaanya meningkat naik. Tetapi hati mak dapat merasakan yang Abang sekadar
mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dengan Abang
berada di dalam bilik. Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan
pucat. Mak duduk di sebelah Abang, mak peluk dan usap rambut Abang. Mak
menangis teresak-esak bagai anak kecil.
Dalam tangis
itu, mak katakan pada Abang, "Mak tahu Abang nak senangkan hati mak. Abang
tak perlu buat macam tu. Mak tahu Abang nak pergi. Jangan tahan-tahan Abang.
Pergilah menghadap Ilahi. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dapat
sempurnakan apa sahaja hajat yang Abang pinta. Mak juga bangga kerana Allah
hadirkan Abang dalam hidup mak walaupun seketika."
Abang hanya
diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika itu mak menangis
sepuas-puasnya. Mak juga berjanji bahwa mak tidak akan menangis lagi selepas
itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di dunia.
9 April
2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua anak-anak datang ke
hospital. Masa Abang dah dekat sangat. Mak lihat Abang sudah kritikal. Wajah
Abang sudah tampak biru, lebam! Dada Abang berombak, tercungap-cungap menarik
nafas.
Abang sudah
tidak mahu makan dan minum lagi sejak malam tadi. Pukul 8.00 pagi, abah dan
kakak-kakak sampai. Mak suruh Kak Long bacakan Yaasin di sebelah Abang. Mak
suruh abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat kerana cuba menahan
tangisnya.
Pukul 3.00
petang, Abang semakin lesu. Lantas mak ajak Abang keluar berjalan-jalan.
"Abang,
abang nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok
matahari!"
Abang hanya
mengangguk lemah. Mak dukung Abang dan kita satu keluarga turun ke kantin.
Abang mahu minum air coklat. Tapi Abang hanya minum seteguk. Kemudian, Abang
lentukkan kepala pada bahu mak.
"Abang,
tu tengok kat luar tu? nampak tak sinar matahari tu? Cantikkan?" Mak
tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di celah-celah rintik hujan
yang turun waktu itu. Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu.
kemudian, abang menguap.
"Abang
ngantuk!" Itu kata Abang dan kemudian abang terlentuk semula pada bahu
mak. Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang. "Bang, jom naik. Abang nak
'tidur'! Mak terus ajak abah dan kakak-kakak naik semula ke wad walaupun mereka
belum sempat jamah makanan di atas meja.
Sampai
sahaja di wad, mak terus baringkan Abang di atas katil.
Dan Abang
terus merintih dalam nada yang lemah, "Makkk..sakit perut..!"
Suara Abang
amat perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas
dahi Abang.
"Abang,
hari ini, waktu ini, mak redhakan Abang pergi. Mak halalkan segala makan minum
Abang. Mak halalkan air susu mak untuk Abang. Pergilah Abang. Mak izinkan Abang
pergi!" Mak ucapkan kata-kata itu sambil merenung jauh ke dalam mata Abang
yang semakin kuyu. Saat Abang sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar
mengucup Abang selagi Abang masih bernafas. Mereka kucup pipi Abang
bertalu-talu dan mula meraung dan menangis.
"Kakak!
kalau kamu semua nak menangis, keluar dari bilik ini. Mak tak mahu Abang dengar
kamu menangis! Jangan seksa Abang dengan tangisan kamu semua!" Mak marah
mereka. Mak tidak mahu Abang lihat kami menangisi pemergian Abang. Mak tahu,
Abang akan jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami
menangis di saat akhir sakaratulmaut menjemput Abang. Mak tidak mahu tambahkan
lagi kesedihan Abang untuk meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di
penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya. Jururawat yang ada dalam
bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak
tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu ada orang menangis di saat Abang akan
pergi. Setitis dua mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.
"Pergilah
Abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah.."
Dan perlahan-lahan
mata abang yang layu tertutup rapat, genggaman tangan Abang pada jari mak
semakin lemah dan akhirnya terlepas...
Pukul 3.50
petang, akhirnya Abang meninggalkan dunia fana ini.
Innalillahiwainnailahirajiun.
Mak kucup
dahi Abang. Mak bisikkan di telinga Abang, "Tenanglah Abang di sana .
Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak Abang. Abang... tunggu mak
di sana ya! Di syurga!"
Abang,
sekarang mak sudah dapat jawapanya. Mengapa mak tidak menangis? Pertama, Abang
telah di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan membantu mak di sana nanti.
Kedua, apa saja keinginan Abang semasa hayat abang telah mak tunaikan. Tiada
lagi rasa terkilan di hati mak. Ketiga, segala hutang sebagai seorang ibu telah
mak langsaikan semasa hayat Abang. Mak telah sunatkan dan buat akikah untuk
Abang. Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada
di sisi Abang dan menggembirakan Abang setiap saat dan waktu. Kelima, mak rasa
istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti Abang. Mak jadi 'kaya'
dengan kehadiran Abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya keredhaan , kaya
keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan. Mak telah beri
segalan-galanya melebihi seratus peratus untuk Abang. Mak telah beri yang
terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu mak tidak
perlu menangis lagi.
Abang..
biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi dan kosong tanpa Abang tapi... mak
akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat terindah kehadiran Abang dalam
hidup kami biarpun cuma sebentar. Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal
Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital seawal
usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung termasuklah
kekurangan injap, jantung berlubang dan saluran sempit. Abang telah menjalani
pelbagai siri pembedahan seawal usia dua bulan dan ada antara pembedahannya
yang gagal, malah abang pernah disahkan 'mati' apabila jantungnya berhenti
berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor mengjangkakan hayat abang tidak lama selepas
lahir ke dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia
empat tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan
Hamdan (bapa).
Al-Fatihah
buat Allahyarham adik Iqbal Fahreen.
Sebuah kisah
benar menyayat hati yang melambangkan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.
By: Md Zahki
Md Hussein
0 comments:
Post a Comment