Wednesday 7 November 2012

Kisah Tetamu Malam

Posted by Unknown on 18:14


SEORANG sahabat datang menemui Rasulullah SAW mengadu kelaparan dan kesusahan yang dialaminya. Keadaan sahabat itu sangat daif dan miskin dengan pakaian yang compang-camping, rambut kusut-masai dan badannya kurus serta cengkung. Melihat keadaan sahabat itu, baginda menjadi sedih dan simpati.

Sebagai tetamu baginda menerimanya dengan seikhlas hati. Kebetulan pada ketika itu baginda tidak mempunyai apa-apa makanan dalam rumahnya untuk dirinya ataupun untuk diberikan kepada sahabat tersebut.

Baginda pun memanggil sahabat-sahabatnya lalu bertanya: "Adakah sesiapa yang sanggup melayani sahabat ini sebagai tetamu bagi pihakku pada malam ini?"

Mendengar pertanyaan baginda itu, seorang Ansar telah menyahut: "Ya Rasulullah saya sanggup melakukan seperti kehendak tuan itu."

Lantas tetamu itu pun dibawa pulang ke rumahnya dan beliau memberitahu isterinya bahawa orang itu adalah tetamu Rasulullah.

Oleh itu, mereka dikehendaki melayan dengan sebaik-baik layanan sekadar yang mampu. Mereka juga hendaklah menjamu orang itu dengan apa jua makanan yang ada.

Isteri orang Ansar itu memberitahu suaminya bahawa di rumah mereka tidak ada apa-apa makanan kecuali sedikit makanan untuk anak-anaknya sahaja.

Sambil berfikir, orang Ansar itu menyuruh isterinya bermain-main dengan anak-anaknya sehingga mereka tertidur. Jadi makanan yang ada itu dapatlah diberikan kepada tetamu tadi.

Orang Ansar itu juga berpesan kepada isterinya agar semasa tetamu itu sedang makan, dia hendaklah memadamkan pelita dan berpura-pura memperbaikinya. Isterinya hanya menurut kata suaminya itu dengan patuh dan taat.

Rancangan orang Ansar itu berjalan lancar. Dia pun menjemput tetamu itu untuk makan sambil duduk bersama-sama dengan tetamu tadi.

Apabila isterinya memadamkan pelita, si suami tadi berpura-pura mengambil dan mengunyah makanan. Tetapi sebenarnya dia langsung tidak mengambil makanan. Dia hanya berpura-pura di hadapan tetamu tadi.

Dalam keadaan yang gelap, tetamu tadi menyangkakan orang Ansar itu sedang makan bersamanya. Dia tidak tahu bahawa makanan itu hanyalah cukup untuk dirinya sahaja.

Keesokan harinya, pergilah orang Ansar ini menemui Rasulullah. Dia disambut baik oleh Rasulullah dan berkatalah baginda: "Wahai orang Ansar! Allah sangat menghargai layananmu semalam terhadap tetamu."

Sikap orang Ansar itu sangat menyenangkan hati Rasulullah. Baginda turut menasihati para sahabat dan seluruh kaum Muslimin supaya mencontohi sifat yang ada pada pemuda Ansar itu. Perbuatan menghormati tetamu sangat baik dan harus dipuji serta dicontohi.

0 comments:

Post a Comment

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site

 
  • Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...