
Maulidur
Rasul (Arab: kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad.
Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang
jatuh pada pada Isnin (Dari hadith riwayat Muslim, 8/25), 12 Rabiul Awal Tahun
Gajah bersamaan dengan 23 April 571. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus
oleh Allah Subhanahu Wataala. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu
bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.
Setiap
tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis
memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara
seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan
yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat
mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.
Kita
dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana bila berniat sahaja hendak
mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan.
Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira
amal soleh.
Jelas
kepada kita bahawa pembalasan Allah Subhanahu Wataala terhadap kebaikan begitu
cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah
SWT akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat
bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya
hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah
Subhanahu Wataala.
Keberkatan
mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan
majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu
turut mendapat keberkatannya.
Jom sama-sama kita berselawat keatas junjungan nabi kita : Nabi Muhamad S.A.W yang telah bersusah payah selama ini dalam menyampaikan kebenaran demi menegakkan syiar islam di atas muka bumi Allah S.W.T