Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan
mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa
dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk
bertaubat kepada Allah s. w. t. Dia berkata, "Sepanjang aku menggali kubur
untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa
mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang
sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat."
" Golongan yang pertama, aku lihat mayat yang pada
siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada
waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi
begitu, wahai tuan guru?" tanya pemuda itu. " Wahai anak muda, mereka
itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu hidupnya.
Lantaran Allah s. w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari
mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang
lain," jawab ahli ibadah tersebut.
Sambung pemuda itu lagi, " Golongan yang kedua, aku
lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad.
Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka
telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?"
Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang
meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat
merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka
sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,"
Pemuda itu menyambung lagi, " Wahai tuan guru, golongan
yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa
sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya
terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya
itu." " Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram,
wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi.
" Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya
bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai
tuan guru?" Jawab ahli ibadah itu, " Wahai pemuda, itulah golongan
manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya
Allah s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya."
" Golongan kelima, ku lihat ada pula mayat yang kukunya
amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari
tubuh badannya," sambung pemuda itu. " Anak muda, mereka itulah
golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka
memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah
Rasulullah s. a. w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa
melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda," jelas ahli
ibadah tersebut.
" Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat,
sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali
semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air
hitam yang amat busuk baunya," " Wahai pemuda, itulah golongan yang
memakan harta riba sewaktu hayatnya," jawab ahli ibadah tadi.
" Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat,
mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian
halnya wahai tuan guru?" tanya pemuda itu lagi. Jawab ahli ibadah
tersebut, " Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan
mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang
beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu hayatnya mahupun
sesudah matinya."
Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s. w. t kita datang
dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas
setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah. Wallahua'lam..
0 comments:
Post a Comment