Di zaman Rasulullah ada seorang pemuda yang bernama Alqomah,
ia sangat rajin beribadat. Suatu hari ia tiba-tiba jatuh sakit yang sangat
kuat, maka isterinya menyuruh orang memanggil Rasulullah dan mengatakan
suaminya sakit kuat dan dalam sakaratul maut. Ketika berita ini sampai kepada
Rasulullah, maka Rasulullah menyuruh Bilal r.a, Ali r.a, Salamam r.a dan Ammar
r.a supaya pergi melihat keadaan Alqomah. Ketika mereka sampai ke rumah
Alqomah, mereka terus mendapatkan Alqomah sambil membantunya membacakan kalimah
La-ilaa-ha-illallah, tetapi lidah Alqomah tidak dapat menyebutnya.
Ketika para sahabat mendapati bahwa Alqomah pasti akan mati,
maka mereka menyuruh Bilal r.a supaya memberitahu Rasulullah tentang keadaan
Alqomah. Ketika Bilal sampai dirumah Rasulullah, maka bilal menceritakan segala
hal yang berlaku kepada Alqomah. Lalu Rasulullah bertanya kepada Bilal;
"Wahai Bilal apakah ayah Alqomah masih hidup?" jawab Bilal r.a,
" Tidak, ayahnya sudah meninggal, tetapi ibunya masih hidup dan sangat tua
usianya". Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata kepada Bilal; "Pergilah
kamu kepada ibunya dan sampaikan salamku, dan katakan kepadanya kalau dia dapat
berjalan, suruh dia datang berjumpaku, kalau dia tidak dapat berjalan katakan
aku akan kerumahnya".
Maka ketika Bilal sampai kerumah ibu Alqomah, lalu ia
berkata seperti yang Rasulullah kata kepadanya, maka berkata ibu Alqomah;
" Aku lebih patut pergi berjumpa Rasulullah". Lalu ibu Alqomah
mengangkat tongkat dan terus berjalan menuju ke rumah Rasulullah. Maka bertanya
Nabi s.a.w. kepada ibu Alqomah; "Terangkan kepada ku perkara yang sebenar
tentang Alqomah, jika kamu berdusta nescaya akan turun wahyu kepadaku".
Berkata Nabi lagi; "Bagaimana keadaan Alqomah?", jawab ibunya;
"Ia sangat rajin beribadat, ia sembahyang, berpuasa dan sangat suka
bersedekah sebanyak-banyaknya sehingga tidak diketahui banyaknya".
Bertanya Rasulullah; "Bagaimana hubungan kamu dengan dia?", jawab
ibunya; " Aku murka kepadanya", lalu Rasulullah bertanya;
"Mengapa", jawab ibunya; "Kerana ia mengutamakan istrinya dari
aku, dan menurut kata-kata isterinya sehingga ia menentangku".
Maka berkata Rasulullah; "Murka kamu itulah yang telah
mengunci lidahnya dari mengucap La iilaa ha illallah", kemudian Nabi s.a.w
menyuruh Bilal mencari kayu api untuk membakar Alqomah. Ketika ibu Alqomah
mendengar perintah Rasulullah lalu ia bertanya; "Wahai Rasulullah, kamu
hendak membakar putera ku didepan mataku?, bagaimana hatiku dapat
menerimanya". Kemudian berkata Nabi s.a.w; "Wahai ibu Alqomah, siksa
Allah itu lebih berat dan kekal, oleh itu jika kamu mahu Allah mengampunkan
dosa anakmu itu, maka hendaklah kamu mengampuninya", demi Allah yang
jiwaku ditangannya, tidak akan guna sembahyangnya, sedekahnya, selagi kamu
murka kepadanya". Maka berkata ibu Alqomah sambil mengangkat kedua
tangannya; "Ya Rasulullah, aku persaksikan kepada Allah dilangit dan kau
Ya Rasulullah dan mereka-mereka yang hadir disini bahawa aku redha pada anakku
Alqomah".
Maka Rasulullah mengarahkan Bilal pergi melihat Alqomah
sambil berkata; "Pergilah kamu wahai Bilal, lihat sama ada Alqomah dapat
mengucapkan La iilaa ha illallah atau tidak". Berkata Rasulullah lagi
kepada Bilal ; "Aku khuatir kalau kalau ibu Alqomah mengucapkan itu
semata-mata kerana pada aku dan bukan dari hatinya". Maka ketika Bilal
sampai di rumah Alqomah tiba-tiba terdengar suara Alqomah menyebut; "La
iilaa ha illallah". Lalu Bilal masuk sambil berkata; "Wahai semua
orang yang berada disini, ketahuilah sesungguhnya murka ibunya telah
menghalangi Alqomah dari dapat mengucapkan kalimah La iila ha illallah, kerana
redha ibunyalah maka Alqomah dapat menyebut kalimah syahadat". Maka
berpisahlah roh dari jasad Alqomah setelah dia mampu mengucap dua kalimah
syahadah...
Maka Rasulullah s.a.w pun sampai di rumah Alqomah sambil
berkata; "Segeralah mandi dan kafankan", lalu disembahyangkan oleh
Nabi s.a.w. dan sesudah dikuburkan maka berkata Nabi s.a.w. sambil berdiri
dekat kubur; "Hai sahabat Muhajirin dan Anshar, barang siapa yang
mengutamakan isterinya daripada ibunya maka ia adalah orang yang dilaknat oleh
Allah s.w.t, dan tidak diterimanya daripadanya ibadat fardhu dan sunatnya..
credit to misteri & keajaiban alam
0 comments:
Post a Comment