Tidak sedikit lelaki yang rebah di persada wanita. Lelaki
sekuat Julius Ceaser boleh lemah apabila berdepan dengan Cleopatra. Mark
Anthony, ketua tentera yang menggantikan Julius Ceaser juga jatuh ke tangan
Cleoparta. Ramai sungguh pemimpin agung dunia kalah oleh pujuk rayu wanita.
Sekuat-kuat lelaki boleh ditipu oleh sebodoh-bodoh wanita.
Begitulah nisbah hebat dan kuatnya kuasa wanita dalam menundukkan lelaki.
Sekuat mana pun lelaki selalunya kalah oleh kata-kata lembut sang wanita.
Seorang lelaki boleh menangis apabila ditinggalkan oleh seorang wanita, padahal
dia terkenal perkasa. Di medan pertempuran dia boleh membunuh begitu ramai
musuh, tetapi berhadapan dengan wanita, hatinya boleh tunduk dan bahasa yang
digunakan turut lunak.
Demikianlah hebatnya wanita. Anda amat berkuasa dan amat
perkasa.
Tolonglah gunakan kekuasaan dan kehebatan anda itu untuk
membantu membangunkan lelaki. Jangan gunakan kekuasaan anda itu untuk
menjatuhkan lelaki. Lelaki pasti kalah oleh pujuk rayu, apatah lagi tatkala
nafsunya sedang bergejolak, atau rasa kecintaannya sedang memuncak, dia memang
sanggup lakukan apa sahaja untuk membuktikannya.
Kejayaan seseorang lelaki biasanya dikaitkan dengan
seseorang wanita di sisinya; mungkin isteri, mungkin ibu, mungkin anak, mungkin
kakak, mungkin makcik. Kemusnahan seseorang lelaki juga biasa dikaitkan dengan
seorang wanita, mungkin pada kedudukan-kedudukan yang serupa.
Jika anda cantik dan pandai memujuk rayu, gunakanlah
kecantikan anda dan kelebihan yang dianugerahkan ALLAH itu untuk membantu
memperkasakan lelaki. Lelaki memang sudah sedia kalanya perkasa, tetapi dia
boleh menghalakan keperkasaannya itu untuk membina sejarah keagungannya dengan
sokongan anda. Sebaliknya dia juga boleh mencipta sejarah kedunguannya dengan
peranan yang anda mainkan.
Lelaki dikurniakan lebih akal tetapi kekurangan nafsu. Dia
hanya ada satu nafsu dan sembilan akal, tetapi nafsu yang satu itu selalu gagal
dipelihara. Maka itu lelaki lebih mudah liar berbanding wanita. Wanita pula,
dek terlalu banyak nafsu dia boleh memecah-mecahkan atau mencabang-cabangkannya
kepada pelbagai hal. Dia boleh bernafsu terhadap barang-barang kemas, baju
cantik, perabot, kereta, rumah dan berbagai-bagai lagi. Jadi, untuk setiap
cabang darjahnya sudah tidak setinggi lelaki. Dia mungkin bernafsu kepada semua
benda tetapi dia tidak mudah musnah oleh semua benda.
Nafsu lelaki biasanya lebih tertumpu pada keghairahannya
terhadap wanita. Sebab itu kita akan lihat lelaki biasanya tidak kisah dengan
berapa helai pakaian yang dimilikinya, tidak begitu kisah dengan hiasan
rumahnya, sebab nafsunya ke arah itu tiada. Tetapi sebut syahwat, lelaki akan
terus terangsang sebab yang satu itu memang sentiasa arahnya ke sana. Tiada
cabang-cabang, tiada pecahan-pecahan.
Maka itulah lelaki walau sekuat mana apabila digoda wanita
cantik biasanya runtuh. Kadang-kadang wanita yang menggodanya bukanlah cantik
sangat, tetapi nafsunya selalu terpesona oleh kata-kata yang lunak, suara yang
sedap didengar, kenyitan mata yang bercahaya dan bermacam-macam lagi. Nafsunya
tidak dapat membezakan antara syahwat yang betul dengan syahwat yang tidak
betul, lantaran dia hanya mempunyai satu nafsu.
Lelaki tua boleh naik ghairah hanya melihat seorang
kanak-kanak. Kadang-kadang dek terlalu ghairah dia gagal membezakan antara
haiwan dengan manusia. Pernah terjadi lelaki mengembiri haiwan. Banyak sungguh
onar yang boleh dilakukan oleh para lelaki. Ternyata mereka selalunya gagal
memberi penalaan yang betul terhadap nafsu mereka walaupun hanya satu.
Oleh itu, wahai wanita, kasihanilah makhluk lelaki. Mereka
itu lemah dalam perkasa. Usah digoda mereka, nanti dia terlupa anak isterinya
di rumah, ibunya di kampung malah dirinya sendiri yang sudah bergelar lelaki
tua.
-Oleh Dr.HM.Tuah
-Oleh Dr.HM.Tuah
0 comments:
Post a Comment